Cerita Seorang AYAH...
Cerita seorang ayah...
◕ Mungkin kerana Ibu lebih kerap menelefon untuk bertanyakan khabarmu setiap hari. Tapi tahukah kamu, jika ternyata AYAH lah yang mengingatkan Ibu untuk menelefonmu?
◕ Mungkin dulu sewaktu kamu kecil, Ibulah yang sering mengajakmu bercerita dan berceloteh. Tapi tahukah kamu, bahawa setiap kali AYAH pulang dari bekerja dan dengan wajah yang penat AYAH selalu bertanya kepada Ibu tentang khabarmu dan apa yang kamu lakukan seharian itu?
◕ Pada saat dirimu masih kecil, AYAH biasanya mengajar anaknya mengayuh basikal. Dan setelah AYAH mengganggapmu boleh, AYAH akan melepaskan roda bantuan di basikalmu...
Kemudian Ibu berkata : "Jangan dulu AYAH", Ibu takut puteri manisnya terjatuh lalu terluka. Tapi sedarkah kamu? Bahawa AYAH dengan yakin akan membiarkanmu, memerhatikanmu, dan menjagamu mengayuh basikal sehingga berjaya kerana dia tahu puteri kecilnya PASTI BOLEH.
◕ Pada saat kamu menangis merengek meminta mainan yang baru kerana mainan di rumah sudah dirosakkan, Ibu menatapmu hiba. Tetapi AYAH akan mengatakan dengan tegas, "Boleh, kita beli nanti, tapi bukan sekarang.” Tahukah kamu, AYAH melakukan itu kerana AYAH tidak mahu kamu menjadi anak yang manja dengan semua tuntutan yang selalu dipenuhi?
◕ Saat kamu ditimpa sakit yang teruk, AYAH yang terlalu bimbang sampai terkadang sedikit marah dengan berkata : "Kan Ayah dah cakap! Jangan minum air berais!". Berbeza dengan si Ibu yang memerhatikan dan menasihatimu dengan lembut. Ketahuilah, saat itu AYAH benar-benar risau dan ambil berat akan keadaanmu.
◕ Ketika kamu sudah beralih ke alam remaja, kamu mulai menuntut pada AYAH untuk mendapat keizinan keluar malam, dan AYAH bersikap tegas dan mengatakan, "Tidak boleh!". Tahukah kamu, bahawa AYAH mebuat keputusan itu untuk menjagamu? Kerana bagi AYAH, kamu adalah sebutir permata hatinya yang sangat berharga.
◕ Setelah itu kamu marah pada AYAH, dan masuk ke bilik sambil menghempas pintu, dan yang datang mengetuk pintu dan memujukmu adalah Ibu. Tahukah kamu, bahawa saat itu AYAH memejamkan matanya dan menahan gejolak hatinya, bahawa AYAH sangat ingin mengikuti keinginanmu, tapi menjagamu adalah kewajipannya?
◕ Ketika seorang lelaki mula sering berhubung denganmu, atau bahkan datang ke rumah untuk berjumpa denganmu, AYAH akan memasang wajah paling cool sedunia. AYAH sesekali mengintip ketika kamu sedang berborak berdua di ruang tamu.
Sedarkah kamu, kalau hati AYAH ingin memastikan yang lelaki itu adalah benar benar ikhlas dengan puterinya?
◕ Ketika kamu mulai dipercayai, dan AYAH melonggarkan sedikit peraturan untuk keluar rumah untukmu, kamu akan memaksa untuk melanggar waktu keluar yang ditetapkan AYAH. Dan apa seorang AYAH akan lakukan adalah dengan duduk di ruang tamu, dan menunggumu pulang dengan hati yang sangat bimbang. Ketika melihat puteri kecilnya pulang larut malam, hati AYAH akan mengeras dan AYAH memarahimu.
Sedarkah kamu, hal yang sangat ditakuti AYAH ialah putri kecilnya akan segera pergi meninggalkannya suatu hari nanti.
◕ Setelah lulus SPM, AYAH akan sedikit memaksamu untuk menjadi seorang Doktor atau menuntut pengajian yang lebih tinggi dan terjamin.
Ketahuilah kamu, bahawa semua paksaan yang dilakukan AYAH itu semata-mata hanya kerana memikirkan masa depanmu nanti. Akan tetapi, AYAH tetap tersenyum dan menyokongmu di saat pilihanmu tidak mengikut kemahuan AYAH.
◕ Ketika kamu menjadi seorang gadis dewasa, dan kamu harus melanjutkan pelajaran jauh dari mata dan ayah tetap perlu melepaskanmu. Tahukah kamu bahawa badan AYAH terasa kaku untuk memelukmu? AYAH hanya tersenyum sambil memberi nasihat itu dan ini, dan menyuruhmu untuk sentiasa beringat dan berhati-hati. Padahal AYAH ingin sekali menangis seperti Ibu dan memelukmu erat-erat.
Yang AYAH lakukan hanya menghapus sedikit air mata di sudut matanya, dan menepuk belakangmu seraya berkata " Jaga dirimu baik-baik di sana. Sembahyang jangan tinggal. Guna duit tu berjimat-cermat. Kita bukan orang senang. Belajarlah bersungguh-sungguh nak".AYAH melakukan itu semua agar kamu KUAT. Kuat untuk pergi dan menjadi dewasa.
◕ Disaat kamu memerlukan wang untuk belanja di tempat orang, orang pertama yang mengerutkan kening adalah AYAH. AYAH pasti berusaha keras mencari jalan agar anaknya boleh merasa kesenangan yang sama dengan rakan-rakannya yang lain.
◕ Ketika permintaanmu bukan lagi sekadar meminta mainan baru, dan AYAH tahu dia tidak mampu memberikan apa yang kamu inginkan, kata-kata yang keluar dari mulut AYAH adalah "Tak boleh!". Walhal dalam hati AYAH, dia sangat ingin mengatakan "Ya sayang, nanti AYAH belikan untukmu". Tahukah kamu bahawa pada saat itu AYAH merasa dirinya telah gagal membuat anaknya tersenyum?
◕ Ketika kamu merangkul sijil sarjana muda pada hari graduasimu, AYAH adalah orang pertama yang berdiri dan memberi tepuk tangan dengan megah untukmu. AYAH akan tersenyum dengan bangga dan puas melihat, puteri kecilnya yang tidak manja berupaya membesar dengan jaya, dan telah menjadi seseorang.
◕ Sampai saat seorang lelaki datang ke rumah dan meminta izin dari AYAH untuk mengambilmu darinya. AYAH akan sangat berhati-hati memberikan izin. Kerana AYAH tahu, bahawa lelaki itulah yang akan menggantikan tempatnya dan melaksanakan tanggungjawabnya nanti.
◕ Dan akhirnya, saat AYAH melihatmu duduk di pelamin bersama lelaki yang paling layak menggantikannya, AYAH pun tersenyum bahagia. Sedarkah kamu, di hari yang bahagia itu AYAH sebak menahan tangis?
AYAH sebak kerana AYAH sangat bersyukur dan bahagia, kemudian dia berdoa.Dalam syahdu doanya kepada Allah, AYAH memohon, "Ya Allah yang Maha Merahmati, aku telah melaksanakan tugasku dengan baik. Puteri kecilku yang ditatang bagai minyak yang penuh dan kucintai telah menjadi wanita yang cantik. Kurniakanlah kebahagiaan yang abadi untuk dia bersama suaminya..."
◕ Setelah itu AYAH sentiasa menunggu kedatanganmu bersama cucu-cucunya yang sesekali datang untuk menjenguk. Dengan rambut yang telah dan semakin memutih. Dan badan serta lengan yang tidak lagi kuat untuk menjagamu dari bahaya.
AYAH telah melaksanakan tanggungjawabnya...Seorang AYAH, adalah seorang yang terlihat kuat di mata kita. Bahkan ketika dia tidak kuat menahan sebak. Dan tatkala perlu terlihat tegas ketika tidak ingin memanjakanmu. Dan dia adalah orang yang paling yakin akan kebolehanmu. Kerana dia tahu, dia harus kuat untuk memimpinmu menjadi seorang yang berguna.x
No comments:
Post a Comment